KEDEKATAN KEPADA TUHAN (#12090)

Terpujilah Engkau, Ya Tuhanku! Engkau mendengar kekasih-Mu yang sejati meratap dalam perpisahan mereka daripada-Mu, dan mereka yang telah mengenali Engkau sedang menangis kerana kejauhan mereka daripada kehadiran-Mu. Bukakanlah ke hadapan wajah mereka, Ya Tuhanku, pintu gerbang kurnia-Mu, agar mereka dapat memasukinya dengan kebenaran daripada-Mu dan sesuai dengan kehendak-Mu, dan memahami loghat suara-Mu, dan diterangi dengan sinaran cahaya wajah-Mu.

Berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau senangi. Tiada sesiapa yang dapat menahan kuasa kedaulatan kekuatan-Mu. Sejak azali Engkau berdiri sendiri, yang tiada setara dengan-Mu, dan akan selama-lamanya kekal jauh di atas sebarang fikiran dan setiap gambaran tentang Diri-Mu. Maka, tunjukkanlah belas kasihan ke atas hamba-hamba-Mu melalui kurnia dan rahmat-Mu, dan janganlah deritai mereka untuk berjauhan daripada pantai samudera kedekatan-Mu. Jika Engkau mengabaikan mereka, siapakah yang dapat berkawan dengan mereka; dan jika Engkau meletakkan mereka jauh daripada-Mu, siapakah yang dapat menjaga mereka? Mereka tidak mempunyai Tuhan lain selain Engkau, tiada sesiapa untuk dipuja melainkan Diri-Mu. Bermurah hatilah terhadap mereka dengan kurnia-Mu yang penuh rahmat.

Sesungguhnya, Engkaulah Pemaaf Selalu, Yang Paling Mengasihani.

-Bahá'u'lláh
-----------------------

KEDEKATAN KEPADA TUHAN (#12091)

Dia adalah Belas Kasihan, Yang Maha Rahim! Ya Tuhan, Tuhanku! Engkau melihatku, Engkau mengenalku; Engkaulah Pelindung dan Penaungku. Tiada yang telahku cari mahupun akan daku mencari selain Engkau; tiada jalan yang telahku jejaki mahupun akan daku menjejaki selain jalan cinta-Mu. Dalam kegelapan malam yang penuh putus asa, mataku menunggu-nunggu dan berpaling dengan penuh harapan kepada pagi rahmat-Mu yang tak terhingga dan pada waktu fajar rohku yang lemah telah disegarkan dan diperkuatkan melalui pengingatan kepada keindahan dan kesempurnaan-Mu. Dia yang dibantu oleh kurnia belas kasihan-Mu, walaupun dia hanyalah setitis, akan menjadi samudera yang tak terbatas, dan atom yang paling kecil jika dibantu oleh kasih sayang-Mu, akan bersinar bagaikan bintang yang cemerlang.

Naungilah di bawah perlindungan-Mu, Ya Engkau Semangat kesucian, Engkau Yang adalah Pemberi Maha Dermawan, hamba-Mu yang terpesona dan disemarakkan ini. Bantulah dia di dunia ini untuk tetap teguh dan kukuh dalam cinta-Mu dan sebabkanlah burung yang patah sayap ini untuk mencapai perlindungan dan naungan di sarang keilahian-Mu yang ditempatkan di atas pohon syurgawi.

-`Abdu'l-Bahá
-----------------------

